Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Selasa, 11 November 2008

Lagi Aktiviti Rakan-rakan Redah









1. Mesyuarat Persiapan Majlis Suai Kenal Redah di Teratak Riverview, Ulu Bernam
Mesyuarat yang berlansung pada 7 Nov 2008 dihadiri oleh AJK Tertinggi dan pada 8 Nov 2008 dihadiri oleh Jawatankuasa Khas Kecil ini berlansung di Teratak Riverview, Ulu Bernam, Selangor sebagai persiapan Majlis Suai Kenal dan Perlancaran Kelab Redah 4x4.
Lokasi yang berhampiran dengan tempat 'mengecas' para 'hardcore 4x4' itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Selesai mesyuarat, rakan-rakan Redah seperti biasa mencari cabaran masing-masing, ada ke Lubuk Kawah. Ada ke Ulu Slim dan ada ke Kerling.
Tahniah kepada Jawatankuasa Khas Kecil yang dilantik. Semoga komitmen saudara semua akan membuahkan hasil yang akan diingati sampai bila-bila.

2. Mengecas di Kerling
Tiada apa yang hendak dihebohkan, cuma aktiviti biasa sebahagian rakan-rakan Redah yang baru mencuba-cuba untuk melangkah ke aktiviti pemanduan 4x4. (Gambar di atas)

Aktiviti Rakan-Rakan Redah Semenjak Dua Menjak

Kereta Pak Maulud, 9W2LUD/PR-UD menggunakan khidmat 5 x10.




Rombongan pengiring Pak Dungun pergi meminang di Jertih, Terengganu.


Muhairi (Pak Dungun) dan tunang, Siti Fatimah Idris.


1. Selamat Bertunang Muhairi (Pak Dungun)
Pada 25 Okt 2008, telah berlansung Majlis Pertunangan Muhairi bin Muhammad atau Dungun dengan Siti Fatimah binti Idris di Kampung Tok Has, Jertih Terengganu. Majlis yang turut dihadiri oleh rakan-rakan Redah seperti Rengas, Sepang, Leban, Kundang serta keluarga masing-masing itu berjalan lancar dan meriah.
Tahniah Muhairi, semoga dipanjangkan jodoh, kekal hingga ke anak cucu.

Gambar lagi...

2. Beriadah bersama Pradas di Kerling
Pada 2 Nov 2008, rakan-rakan dari Pradas dengan semangat yang cukup tinggi, membawa kereta 2 wheel masing-masing menyahut cabaran ke Kerling. Walaupun sentiasa dipantau oleh rakan-rakan Redah, namun perjalanan pergi dan balik berjalan lancar. Tahniah kepada yang berani 'mencalarkan' kereta masing-masing dan berani tidur di dalam khemah yang dimasuki air.
Gambar lagi...

Jumaat, 31 Oktober 2008

Redah di Rumah Terbuka Aidil Fitri NSTP di Hotel J.W. Marriot


Gaya Penyambut Tetamu 'cum' Handy-cam man....










Sila KLIK DI SINI untuk gambar seterusnya.



Pada 24 Oktober 2008 yang lalu telah berlansung Rumah Terbuka Aidil Fitri NSTP di Hotel J.W.Marriot, Kuala Lumpur.


Para tetamu jemputan terdiri daripada VVIP, VIP, pengamal media massa, artis, pelakon dan tidak ketinggalan kaum kerabat Redah 4x4 Club.


Entah apa yang istimewanya Redah 4x4 Club ini, tetapi itulah kenyataannya; Orang berbudi, kita berbahasa...orang memberi, kita merasa.


Mungkin juga ikatan antara NSTP ini telah terbentuk secara tidak lansung dengan penyertaan ahli-ahli 4x4 ini di dalam program kemanusiaan seperti bantuan banjir kelolaan NSTP.


Apa-apapun saya bagi pihak Redah 4x4 Club ingin mengucapkan ribuan terimakasih di atas jemputan dan layanan mesra dari pihak NSTP.


Semoga kita dapat membentuk satu ikatan dan kerjasama dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

Selasa, 28 Oktober 2008

Perasmian Pusat Perlindungan PERNIM


Hjh Norlina Alawi,

Pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM)



Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, merasmikan Pusat Perlindungan PERNIM.






Gambar selanjutnya, sila KLIK DI SINI.


Redah 4x4 Club sekali lagi membantu menjayakan satu projek amal pada 18 hb Oktober 2008.


Para peserta dengan kenderaan 4x4 masing-masing, sama-sama membawa, meraikan dan menyaksikan Perasmian Pusat Perlindungan PERNIM yang turut dihadiri oleh Y.B. Dato' Seri Dr. Zahid Hamidi di Cheras.


Perasmian pusat perlindungan tersebut adalah kesinambungan kepada usaha seorang insan yang berhati mulia, Hjh Norlina Alawi, Pengasas Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman Malaysia (PERNIM) ingin membantu anak-anak yatim dan anak-anak kepada pesakit HIV/Aids.

*Untuk keterangan lanjut sila lawati website PERNIM



Projek Amal Ramadhan & Pengagihan Sumbangan 2008 ke Dengkil, Selangor.










Untuk gambar seterusnya, sila KLIK DI SINI.

Bulan Ramadhan Al-Mubarak yang terkenal sebagai Bulan Ibadah pada tahun ini terus dimarakkan sekali lagi oleh segerombolan ahli-ahli Redah yang prihatin untuk menjayakan Program Pengagihan Zakat pada 20 Sept 2008 lalu.

Lokasi program tersebut adalah sekitar Dengkil, Sepang, Selangor di mana lebih kurang 70 orang peserta yang terdiri dari ahli-ahli Redah 4x4 sendiri beserta keluarga masing-masing dan tidak ketinggalan rakan-rakan radio amatur berkonvoi seawal jam 8.00 pagi dari Kuala Lumpur ke lokasi berkumpul di Dewan Orang Ramai, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Barangan zakat dan sumbangan ahli-ahli Redah dan orang ramai yang dibawa menggunakan lori kemudiannya dipindahkan ke dalan kenderaan 4x4 dan diagihkan ke rumah-rumah fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan Ma’ahad Tahfiz yang telah dikenal pasti.
Terik mentari, keletihan, lapar dan dahaga, merupakan cabaran utama program dibulan puasa ini. Namun komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh peserta menjadikan program tersebut berjalan lancar mengikut jadual.

Tidak ketinggalan program ceramah agama juga disediakan oleh Jawatan Kuasa Kampung bagi memenuhi jadual harian sebelum Majlis Berbuka Puasa.

Laungan azan Maghrib yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa mengakhiri penat lelah seharian para peserta dan disambut dengan hidangan yang berbagai jenis oleh tuan rumah.
Kepada para peserta, sekalung tahniah diucapkan dan terimakasih yang tidak terhingga juga kepada tuan rumah, jawatankuasa yang terbabit dan penduduk kampong yang memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program ini.

Semoga kerjasama seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Isnin, 8 September 2008

Mesyuarat Tidak Rasmi Program Pengagihan Zakat 2008





Mesyuarat tidak rasmi ini berlansung di Restoran Tempua, Taman Batu Muda Tambahan pada 6hb September 2008 yang dihadiri oleh ahli-ahli Redah 4x4 Club, Pradas dan keluarga masing-masing dengan perbincangan mengenai persediaan untuk Program Pengagihan Zakat 2008 ke Daerah Dengkil, Selangor D.E.
Program yang dijangka akan berlansung pada 20hb Sept 2008 tersebut bakal memenuhi kalender tahunan Redah 4x4 Club dimana pengagihan zakat berupa barang-barang keperluan harian dan wang tunai kepada fakir-miskin yang berada di sekitar Daerah Dengkil.
Sumbangan dari syarikat, pertubuhan dan individu ini akan dihulurkan secara terus kepada keluarga yang memerlukan melalui penghantaran yang bakal dilakukan secara berkonvoi oleh ahli-ahli Redah 4x4 Club dan rakan-rakan bersekutu.
Mesyuarat yang berlansung sehingga ke waktu berbuka itu diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib di surau bersebelahan.

Khamis, 4 September 2008

Konvoi Merdeka 2008 ke Lata Kijang, Kuala Klawang.









*Sila klik DI SINI untuk gambar seterusnya.


Program yang bermula 30hb Ogos 2008 sehingga 31 Ogos 2008 yang lalu, menyaksikan ahli-ahli Redah 4x4 Club seramai lebih-kurang 80 orang termasuk keluarga masing-masing ini telah berkonvoi melalui Hulu Langat, Selangor ke Lata Kijang, Kuala Klawang, N.S.

Lebih 20 buah kenderaan 4x4 memecah kesunyian hutan belantara yang terkenal dengan iklan "Kopi Radik" ini telah diketuai sendiri oleh Tuan Presiden, Pak Merbatu.

Perkhemahan keluarga ini dirancang dan dilaksanakan secara mendadak demi untuk memenuhi hasrat anggotanya yang inginkan satu perkhemahan sebelum kedatangan bulan Ramadhan 2008.

Secara amnya program ini hanyalah sekadar program ringkas yang dihiasi dengan acara-acara santai dan karaoke selain BBQ.

Di sebelah malam Ambang Merdeka, perserta dikejutan oleh berpuluh-puluh das tembakan meriam 'kalbait' dan diserikan lagi dengan upacara mengebarkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang. Dendangan suara menerusi acara karaoke para peserta menyerlahkan lagi bakat terpendam kalangan peserta yang 'berani' mencuba.

Sememangnya 4x4 tidak akan lengkap tanpa aktiviti 'mengecas'. Penampilan muka baru dalam 4x4 menceriakan lagi aktiviti yang mencabar minda dan fizikal itu. Berkat tunjuk ajar dan bimbingan rakan-rakan "Otai" 4x4, segala cabaran dapat disahut dengan senyuman walaupun jelas kelihatan lutut yang menggigil para peserta.

Tahniah kepada muka-muka baru 4x4 yang menunjukkan keazaman yang tinggi menyahut cabaran baik dari alam semulajadi mahupun dari rakan-rakan.

Peserta bergerak pulang pada petang 31hb Ogos 2008 untuk membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Ramadhan keesokan harinya.

Dengan alasan untuk mengisi minyak, akhirnya konvoi sempat juga meronda dan minum petang di Pekan Kuala Klawang sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

-Pak Kundang.

Jumaat, 25 Julai 2008

Redah ke Lata Berembun






*Sila klik di sini untuk gambar seterusnya, link dari Photobucket 9w2yyb.











Pada 18hb Julai 2008, sekitar jam 10.00 malam sebuah konvoi sebanyak 15 buah kenderaan 4x4 telah bergerak dari stesen minyak sebelum tol Gombak menuju ke lokasi perkhemahan Lata Berembun, Raub, Pahang.



Aktiviti sulong buat Kelab 4x4 Redah ini, turut disertai oleh rakan-rakan dari JibAuto 4x4, PRADAS dan keluarga masing-masing.



Setelah mengharungi perjalanan yang jauh dengan cabaran mendaki cerunan dan meredah laluan hutan yang berliku-liku, akhirnya pada pukul 2.00 pagi, 19hb Julai 2008, konvoi telah selamat sampai ke tapak perkhemahan dan disambut oleh sekitar 15 peserta yang bertolak lebih awal.



Program 4x4 pada kali ini menempuh pelbagai cabaran yang tidak dijangka seperti pacuan 4x4 rosak, hujan, khemah dibanjiri air dan kawasan perkhemahan yang terhad.



Namun semangat yang ditunjukkan oleh peserta-peserta, terutamanya peserta yang baru pertama kali melalui pengalaman meredah hutan menggunakan kenderaan 4x4, amat-amat memberansangkan.



Hutan yang senyap sunyi dan jauh dari penempatan penduduk ini, menjadi gempak-gempita dengan aktiviti-aktiviti peserta terutamanya kanak-kanak.



Buat pertama kalinya juga program kali ini turut disertai oleh dua rakan OKU yang cacat penglihatan iaitu PR-MFA, Mohd Faiz dan rakan sekerjanya, Abang Zul.



Lata Berembun merupakan sebuah lokasi perlancongan yang sememangnya menjanjikan suasana yang berlainan dari tempat lain, di mana air terjunnya sentiasa memercikkan kabus bersama deruan angin yang begitu menyejukkan.



Ahad, 20hb Julai 2008, jam 1.00 petang, peserta konvoi terpaksa meninggalkan lokasi menarik ini untuk pulang dan sekali lagi cabaran menuruni laluan berliku di sebelah gaung yang teramat dalam, menjadi lebih sukar apabila terpaksa berselisih dengan ’teksi hutan’ yang membawa pelancong untuk ke lokasi yang sama.



Konvoi yang mengumpulkan hampir kesemua peserta kemudiannya bergerak ke Semantan, Temerloh, Pahang dengan barisan 35 buah 4x4 untuk menyahut pelawaan tuan rumah (rakan kepada Abg Zul, PR-XJ) untuk acara ‘makan ikan bakar’.



Kesempatan ini digunakan untuk bertemu dengan rakan Ham dari Temerloh iaitu PR-SYA, Aisyah dan suaminya PR-AZN, Shaha Azuan (9W2SZA)Konvoi seterusnya bergerak semula ke Kuala Lumpur jam 8.45 malam dan berpecah ke lokalan masing-masing di tol Gombak.



Tahniah kepada kesemua peserta. Semoga jalinan persahabatan dan persaudaraan antara kita akan berterusan hingga bila-bila.