Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Rabu, 17 Disember 2008

Charge!!!: Lubuk Kawah












Lagi gambar DI SINI

Pada 13 Dis 2008 baru-baru ini, macam-macam aktiviti rakan-rakan terutamanya rakan radio komersial baik amateur dijalankan luar dari Kuala Lumpur.

Begitupun terdapat segelintir 'umat' yang tak dapat menyertai mana-mana aktiviti rasmi ini akibat kekangan kerja, termasuklah penulis sendiri.

Sebagai pengubat duka tidak dapat bersama rakan-rakan lain, Saya bersama Keledang, Rhu, Arau, Bintagor dan dua tiga rakan lagi telah pergi ke Lubuk Kawah jam 11.30 malam.

Tepat jam 12.00 malam, "mini konvoi tangkap muat" itu tiba di Teratak Riverview.

Melalui perjalanan offroad sukar dan mendaki bukit sejauh 10km ( mengikut GPS Bintagor ), akhirnya konvoi terpaksa berhenti untuk berehat dan memasang khemah jam 6.00 pagi.

Best?....Huuuiii memang best!....Terimakasih kepada Rhu yang memberi tunjuk ajar dari aspek teknikal dan semangat kepada pilot-pilot baru dan hingusan ini.


-Kundang





.

Sambutan Aidil Adha dan Korban di An-Najjah






Lagi gambar DI SINI


Pada 7 Dis 2008, bersamaan Hari Raya Aidul Adha ke-2 yang lepas, Redah sekali lagi mengotakan janji untuk bersama-sama dengan anak-anak yatim merayakan Hari Raya di Pusat Jagaan Anak Yatim/ Saudara Baru An-Najjah di Jalan Kent, Kuala Lumpur.

Majlis yang diserikan lagi dengan kehadiran pihak berkuasa tempatan, DBKL, Bomba, ATM dan Rela turut dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan.

Turut serta adalah sebilangan anak-anak yatim yang dibawa dari 3 buah rumah anak yatim sekitar Selangor/ KL.

Kehadiran ahli Redah disambut penuh ceria oleh penghuni pusat asuhan tersebut walaupun bilangan yang hadir tidak mencapai perancangan awal akibat ada rakan-rakan yang balik ke kampung halaman sempena sambutan Raya dan ada yang terpaksa membantu MERCY untuk kerja-kerja permulihan bencana di Bukit Antarabangsa.

Sumbangan daging korban di sampaikan oleh Presiden Redah sendiri, En. Zulni atau Merbatu.

Semoga aktiviti berbentuk tanggungjawab sosial ini akan diteruskan di masa-masa akan datang.



-Kundang












.

Khamis, 11 Disember 2008

Operasi Sokongan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

Redah 4x4 Club mendapat liputan dari KOSMO. Kelihatan Pak Jongkong dalam operasi mencari laluan alternatif.

Ketua Operasi, En Ezam atau Rhu mengagihkan pakaian sumbangan MERCY kepada ahli yang terlibat.


En. Azman atau Oakleaf yang mendapat kecederaan sebelum dihantar ke hospital.

Unit Peninjau Redah Pak Jongkong dan Pak Tampoi.

En. Saripol dari JPAM membantu mengangkat mayat salah seorang dari mangsa.

Laluan yang akhirnya di lebarkan oleh ATM untuk laluan kenderaan 4x4. Unit Peninjau Redah yang termengah-mengah tanpa 4x4.

Unit logistik dan pengangkutan sempat berposing di lokasi penempatan sementara mangsa tanah runtuh.

Bilik Operasi MERCY/Redah yang sentiasa ceria walaupun dibebani tugasan dan tanggungjawab berterusan selama tiga hari.

*Gambar sumbangan rakan-rakan KLIK DI SINI
*Sila KLIK untuk gambar dari Photobucket Kudadarat.

Tanggal 6 Dis 2008, seawal jam 4.00 pagi, Negara dikejutkan dengan berita yang amat menggemparkan tentang kejadian kegelongsoran tanah yang meranapkan sebahagian kediaman dan infrastruktur di sekitar Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang, Selangor.

Kejadian yang meragut 5 nyawa dan mencederakan sebilangan penduduk di sana itu turut dirasai oleh ahli-ahli Redah 4x4 sendiri apabila salah seorang daripada mangsa merupakan rakan dan ahli Redah sendiri, En Azman atau Oakleaf yang tinggal berhampiran tempat kejadian.

Menurut En Azman, seawal kejadian, dia dan penduduk yang terselamat menjalankan operasi menyelamat mangsa sebelum kehadiran pihak berkuasa dan mendapat kecederaan tatkala berlari menyelamatkan diri akibat ‘gelombang’ ketiga kegelongsoran tanah di dalam keadaan gelap gelita.

Kejadian yang mendapat perhatian agensi-agensi penyelamat kerajaan seperti PDRM, Angkatan tentera, Bomba, SMART dan JPAM itu turut disokong dan dibantu oleh NGO-NGO seperti Bulan Sabit Merah, MERCY dan tidak ketingggalan Kelab Redah 4x4 sendiri yang diketuai oleh En. Ezam atau Rhu sebagai Ketua Operasi.

Seawal jam 7.00 pagi, segerombolan tidak kurang dari 25 orang pilot Redah 4x4 mengatur strategi dan pembahagian tugas masing-masing yang memberi tumpuan kepada usaha untuk mencari jalan altenatif akibat laluan utama telah terputus.

Walaupun kerja-kerja meninjau laluan hanya dengan berjalan kaki, tetapi akhirnya satu laluan yang paling selamat dan praktikal dijumpai oleh team peninjau Redah.

Perbincangan dengan pihak JKR dan Wakil Rakyat Ulu Kelang, En Azmin Ali sendiri akhirnya membuahkan hasil apabila laluan yang diterokai oleh rakan-rakan Redah dipilih dan di naik taraf untuk laluan kenderaan 4x4 oleh pihak ATM.

Pasukan Redah 4x4 juga sekali lagi dapat berbangga apabila dipilih oleh MERCY yang terkenal dengan misi-misi kemanusiaannya di seluruh dunia, untuk bersama-sama berganding bahu dan membantu dalam urusan-urusan sokongan perubatan.

Terimakasih yang tidak terhingga kepada MERCY dan JPAM yang memberi penuh kepercayaan terhadap komitmen dan tanggungjawab dari sebuah kelab yang dianggap hingusan; Kelab Redah 4x4.

Terbukti rakan-rakan dari Kelab Redah 4x4 sememangnya boleh diharapkan apabila mampu dan setia bersama-sama agensi lain menyumbangkan tenaga dan kepakaran di tapak kejadian selama 3 hari berturut-turut walaupun umat Islam lain sedang sibuk meraikan Hari Raya Korban bersama keluarga masing-masing.

Sememangnya itulah erti sebuah pengorbanan.

Kepada rakan-rakan yang terlibat, baik ahli Redah atau rakan Redah, tahniah dan terimakasih diucapkan.

Kepada rakan yang tidak terlibat secara sengaja atau tidak, sekurang-kurangnya tunjukkanlah sokongan moral dan komitmen anda kepada aktiviti Redah 4x4 selepas ini.

Harus diingat, matlamat penubuhan Kelab Redah 4x4 bukan sekadar untuk berseronok dengan aktiviti rekreasi dan santai sahaja, tetapi mencakupi aktiviti sokongan kepada agensi kerajaan dan NGO dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Jadi, kepada yang sanggup…teruskan ‘meREDAH’…

Kepada yang tak sanggup….pikir-pikirlah sendiri….Ramai lagi rakan-rakan lain di luar sana yang sanggup dan nak join Redah…..Hayatilah erti sebuah Kerjasama dan Persahabatan….

Bersatu kita…REDAH….

Bercerai kita…PADAH….

-Kundang.



.

Jumaat, 5 Disember 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha

Pihak Jawatan Kuasa Tertinggi Redah 4x4 Club dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan Salam Idul Adha kepada semua ahli-ahli Redah 4x4, sahabat-sahabat setia Redah dan seluruh umat Islam tidak kira di mana berada.

Semoga Hari Raya pada kali ini akan memantapkan pengertian 'KORBAN' dalam diri kita semua.

Kepada yang terlibat dengan aktiviti korban, tahniah diucapkan.
Kepada yang memandu pulang ke destinasi masing-masing, hati-hati memandu.

Kepada yang nak masuk hutan Hari Raya ni...pikir dua-tiga kali...

Selamat Hari Raya Aidil Adha.

-Dari semua Jawatan Kuasa Tertinggi.

Rabu, 3 Disember 2008

PENGUMUMAN 2

Untuk pengatahuan pelawat-pelawat sekelian, satu ruangan di sebelah kanan blog ini telah diwujudkan di bawah tajuk GAMBAR RAKAN REDAH, untuk memudahkan kita lebih mengenali siapa yang memegang callsign apa.

Hanya gambar yang terdapat di dalam simpanan saya sahaja yang disiarkan.

Bagi ahli yang masih tidak dimasukkan gambar mereka diharapkan agar menghubungi Kundang atau terus nyatakan di Chat box untuk tindakan lanjut.

-Kundang.

Isnin, 1 Disember 2008

PENGUMUMAN










Kepada ahli Redah 4x4 Club dan rakan-rakan yang berkelapangan pada Hari Raya Aidil Adha yang pertama dan kedua, adalah di alu-alukan untuk sama-sama turut serta di dalam gotong-royong Majlis Korban di Pusat Jagaan Anak Yatim/ Saudara Baru An-Najjah seperti berikut:

Tarikh : 8hb Disember 2008 (Hari Raya Pertama)
dan/atau 9hb Disember 2008 (Hari Raya Kedua)

Tempat : Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru,
No.3, Jalan Kent 2, Off Jalan Maktab,
54000, Kuala Lumpur.
Masa : Selepas zohor Hari Raya pertama dan pukul 7.30 pagi pada Hari Raya Kedua.

Untuk ahli Redah 4x4 Club, satu kutipan derma sedang dilancarkan untuk bayaran sewa bas bagi mengangkut sejumlah 50 orang anak yatim dari rumah anak yatim sekitar Rawang untuk turut sama meraikan Hari Raya di sana.

Bayarannya telah ditetapkan sebanyak RM20 seorang ahli Redah tanpa mengira samada hadir atau tidak.

Untuk perhatian, Kelab Redah 4x4 telah mendahulukan duit kelab sebanyak RM2,000 dan telah diserahkan kepada Pusat Jagaan tersebut bagi penempahan bas dan sebagainya.

Dengan kiraan mudah dengan ahli seramai 100 orang maka dapatlah kiranya kita menampung balik sebanyak RM20 seorang yang akan berjumlah RM2,000.

RM20 untuk mengembirakan hati-hati kecil anak yatim…apalah sangat.

Bayaran boleh dibuat melalui :
a. Bayaran terus kepada Bendahari, En Najib
b. Masukkan ke akaun sementara Redah atas nama En. Najib 512156502592 (Sila simpan slip transaksi untuk bukti bayaran)

Untuk rakan-rakan yang ingin mendapatkan t-shirt Redah edisi terhad bagi program tersebut, boleh terus menghubungi En. Najib di talian 019-2739916.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pak Kundang di talian 012-9787497.

Operasi Menyelamat Tanah Runtuh di Ulu Yam Perdana












Gambar seterusnya sila KLIK disini.



30hb Nov 2008, Deringan panggilan kecemasan bertalu-talu memasuki handphone saya mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Ulu Yam Perdana tatkala saya sibuk menyiapkan anak-anak untuk bersarapan pagi.

Panggilan kecemasan yang dibuat oleh Pak Shukur, PR-SG atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Kobis itu seperti biasanya merupakan panggilan kecemasan dari JPA3, akan diikuti dengan pesanan supaya perkara ini tidak dihebohkan lagi di jalur radio komunikasi bagi mengelak salah informasi dan kebanjiran rakan-rakan yang bermurah hati ingin menghulurkan bantuan.

Bukan menolak keperhatinan rakan-rakan, namun sementara jentera kerajaan seperti PDRM, PBSM, SMART, JPA3 dan Rela telah dikerahkan ke sana, menjalankan kerja-kerja mereka secara professional, sebaiknya-baiknya kita hanya perlu berada di dalam ‘standby’ jika ada apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan.

Seperti yang diketahui, Redah 4x4 Club dan JPA3 sejak dari dahulu lagi mempunyai hubungan yang akrab melalui kerjasama operasi menyelamat terutamanya dalam operasi yang memerlukan penggunaan jentera 4x4.

Terimakasih kepada rakan-rakan Redah yang sempat dihubungi dan bergegas ke lokasi bagi membantu dalam penyiapan khemah operasi sementara dan menghantar barangan keperluan teknikal untuk pasukan JPA3 di tempat kejadian.

Mewakili Redah 4x4 Club, saya ingin mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang Soleh.


-Kundang.

Berikut berita penuh yang di sisip dari Berita Harian Online.

Dua Beradik Mati Tertimbus


KUALA KUBU BHARU: Dua beradik maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang meranapkan sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Seksyen 13, Ulu Yam Perdana, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Nur Athirah Roslan, 16, dan adiknya, Nur Intan Shareena, 9, sedang tidur di bilik mereka di bahagian belakang rumah, ketika cerun setinggi 30 meter dan lebih 300 meter panjang menggelungsur lalu menimbus sebahagian besar rumah mereka.

Ibu bapa mangsa, Roslan Mohd Jani, 49, yang bertugas sebagai juruterbang Firefly dan Azizah Madun, 42, serta tiga lagi anak mereka, Norman Afiq, 4; Anis Afina, 6, dan Nurlisa Azeera, 8, bagaimanapun selamat selepas berjaya keluar melalui lubang di bumbung.

Ketika kejadian, lima beranak yang terselamat itu tidur di bilik utama di bahagian depan
rumah berkenaan. Timbunan tanah runtuh yang menimbus rumah itu turut menyebabkan Nurlisa Azeera tersepit di bawah almari tetapi tidak cedera.

Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zaldino Zaludin berkata, jenazah Nur Athirah ditemui jam 12.30 tengah hari dalam keadaan mengiring, manakala jenazah Nur Intan Shareena tiga jam kemudian dalam keadaan terlentang.

"Kedua-dua mangsa tertimbus lebih dua meter dari paras bumi akibat diseret runtuhan tanah yang menggelungsur dan berada pada kedudukan satu setengah meter antara satu sama lain. Jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat," katanya di lokasi kejadian, semalam.

Zaldino berkata, usaha mencari mangsa membabitkan seramai 140 pegawai dan anggota pasukan polis, bomba dan penyelamat, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta dibantu kakitangan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Katanya, tiga anjing pengesan dan dua jengkaut turut digunakan bagi membantu mencari serta mengeluarkan mangsa.

Keluarga itu yang sudah menetap di kediaman berkenaan sejak tujuh tahun lalu, turut mempunyai seorang lagi anak, Noraina Ayu, 21, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka.

Dua kereta jenis Kia Spectra dan Perodua Kancil milik keluarga berkenaan yang diletakkan di ruang letak kereta rumah itu turut ranap.