Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Isnin, 1 Disember 2008

Operasi Menyelamat Tanah Runtuh di Ulu Yam Perdana












Gambar seterusnya sila KLIK disini.



30hb Nov 2008, Deringan panggilan kecemasan bertalu-talu memasuki handphone saya mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Ulu Yam Perdana tatkala saya sibuk menyiapkan anak-anak untuk bersarapan pagi.

Panggilan kecemasan yang dibuat oleh Pak Shukur, PR-SG atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Kobis itu seperti biasanya merupakan panggilan kecemasan dari JPA3, akan diikuti dengan pesanan supaya perkara ini tidak dihebohkan lagi di jalur radio komunikasi bagi mengelak salah informasi dan kebanjiran rakan-rakan yang bermurah hati ingin menghulurkan bantuan.

Bukan menolak keperhatinan rakan-rakan, namun sementara jentera kerajaan seperti PDRM, PBSM, SMART, JPA3 dan Rela telah dikerahkan ke sana, menjalankan kerja-kerja mereka secara professional, sebaiknya-baiknya kita hanya perlu berada di dalam ‘standby’ jika ada apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan.

Seperti yang diketahui, Redah 4x4 Club dan JPA3 sejak dari dahulu lagi mempunyai hubungan yang akrab melalui kerjasama operasi menyelamat terutamanya dalam operasi yang memerlukan penggunaan jentera 4x4.

Terimakasih kepada rakan-rakan Redah yang sempat dihubungi dan bergegas ke lokasi bagi membantu dalam penyiapan khemah operasi sementara dan menghantar barangan keperluan teknikal untuk pasukan JPA3 di tempat kejadian.

Mewakili Redah 4x4 Club, saya ingin mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang Soleh.


-Kundang.

Berikut berita penuh yang di sisip dari Berita Harian Online.

Dua Beradik Mati Tertimbus


KUALA KUBU BHARU: Dua beradik maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang meranapkan sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Seksyen 13, Ulu Yam Perdana, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Nur Athirah Roslan, 16, dan adiknya, Nur Intan Shareena, 9, sedang tidur di bilik mereka di bahagian belakang rumah, ketika cerun setinggi 30 meter dan lebih 300 meter panjang menggelungsur lalu menimbus sebahagian besar rumah mereka.

Ibu bapa mangsa, Roslan Mohd Jani, 49, yang bertugas sebagai juruterbang Firefly dan Azizah Madun, 42, serta tiga lagi anak mereka, Norman Afiq, 4; Anis Afina, 6, dan Nurlisa Azeera, 8, bagaimanapun selamat selepas berjaya keluar melalui lubang di bumbung.

Ketika kejadian, lima beranak yang terselamat itu tidur di bilik utama di bahagian depan
rumah berkenaan. Timbunan tanah runtuh yang menimbus rumah itu turut menyebabkan Nurlisa Azeera tersepit di bawah almari tetapi tidak cedera.

Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zaldino Zaludin berkata, jenazah Nur Athirah ditemui jam 12.30 tengah hari dalam keadaan mengiring, manakala jenazah Nur Intan Shareena tiga jam kemudian dalam keadaan terlentang.

"Kedua-dua mangsa tertimbus lebih dua meter dari paras bumi akibat diseret runtuhan tanah yang menggelungsur dan berada pada kedudukan satu setengah meter antara satu sama lain. Jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat," katanya di lokasi kejadian, semalam.

Zaldino berkata, usaha mencari mangsa membabitkan seramai 140 pegawai dan anggota pasukan polis, bomba dan penyelamat, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta dibantu kakitangan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Katanya, tiga anjing pengesan dan dua jengkaut turut digunakan bagi membantu mencari serta mengeluarkan mangsa.

Keluarga itu yang sudah menetap di kediaman berkenaan sejak tujuh tahun lalu, turut mempunyai seorang lagi anak, Noraina Ayu, 21, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka.

Dua kereta jenis Kia Spectra dan Perodua Kancil milik keluarga berkenaan yang diletakkan di ruang letak kereta rumah itu turut ranap.

Tiada ulasan: