Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Sabtu, 24 April 2010

Kembara ke Bumi Suci (Putra Jaya - Mekah 2010)


Sekalung Tahniah diucapkan kepada Oakleaf atau En. Azman Baharuddin (Peneraju Israq Adventure Sdn Bhd) dari seluruh warga Redah 4x4 Club kerana impiannya selama ini untuk mengerjakan umrah dengan menunggang motosikal sudah menghampiri cabarannya.


Impian dan tekad senior atau 'otai' 4x4 ini yang juga merupakan Penasihat Kelab 4x4 Redah, pernah dilontarkan kepada rakan-rakan di dalam Redah malah turut mempelawa sesiapa yang berminat.


Perjalanan yang bakal bermula pada 15 Mei 2010 ini bakal dibarisi 11 buah motosikal berkuasa besar dan 4x4 sebagai unit sokongan dan bakal menempuh 50 hari perjalanan melalui Thailand, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Syria, Jordan dan berakhir di Arab Saudi.


Semoga 'israq'(perjalanan) jemaah kita ini akan sentiasa dilindung dan diberkati Allah S.W.T.


Untuk rakan-rakan Redah sendiri, semoga komitmen yang ditunjukkan oleh rakan-rakan kita ini akan dapat dijadikan semangat dan dorongan agar terus bersatu-padu dan bekerjasama dalam mengejar impian setinggi gunung.


Tahniah! Oakleaf.(Israq Adventure)


-Admin.


.

Selasa, 13 April 2010

Program Amal 4x4 Redah–Middle Earth ke Mat Daling


Kepada semua ahli Redah 4x4 Club adalah dipelawa untuk sama-sama menjayakan program Amal 4x4 Redah-Middle Earth untuk mengagihkan barangan sumbangan/bantuan kepada fakir miskin di Kg. Mat Daling, Jerantut Pahang.

Selain sama-sama menghulurkan bantuan kepada fakir miskin di sana, peserta juga akan berpeluang untuk menikmati keindahan flora dan fauna disamping berpeluang untuk melakukan aktiviti riadah lain seperti memancing dan 4 wheelin’.

Tarikh : 17 & 18 April 2010 (Sabtu dan Ahad)
Keperluan : 4x4 sendiri, petrol/diesel sendiri, makan sendiri tempat tidur sendiri (boleh sewa chalet)

Lokasi dan tarikh berkumpul : Stesen minyak Shell/Petronas sebelum tol Gombak pukul 6.00 pagi 17 April 2010 (Sabtu).

Konvoi akan bersama-sama bergerak dari Jerantut ke Mat Daling pada jam 9.00 pagi 17 April 2010.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan harian/makanan atau wang ringgit amat-amat dialu-alukan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pak Kulim di talian 012-252 3370 atau Antoi di talian 012-3057959.

-Admin.

Jumaat, 2 April 2010

AL-FATIHAH untuk arwah Din Beramboi

Kelab 4x4 Redah ingin mengucapkan Takziah buat keluarga dan kenalan Din Beramboi (PR-DC) atas pemergian orang tersayang menyahut seruan Ilahi.


Arwah sememangnya tidak asing lagi di kalangan warga 4x4 dan radio amateur.


Semoga roh beliau sentiasa dicucuri Rahmat di samping roh orang-orang beriman.

Al-Fatihah.

-admin.