Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Selasa, 28 Oktober 2008

Projek Amal Ramadhan & Pengagihan Sumbangan 2008 ke Dengkil, Selangor.










Untuk gambar seterusnya, sila KLIK DI SINI.

Bulan Ramadhan Al-Mubarak yang terkenal sebagai Bulan Ibadah pada tahun ini terus dimarakkan sekali lagi oleh segerombolan ahli-ahli Redah yang prihatin untuk menjayakan Program Pengagihan Zakat pada 20 Sept 2008 lalu.

Lokasi program tersebut adalah sekitar Dengkil, Sepang, Selangor di mana lebih kurang 70 orang peserta yang terdiri dari ahli-ahli Redah 4x4 sendiri beserta keluarga masing-masing dan tidak ketinggalan rakan-rakan radio amatur berkonvoi seawal jam 8.00 pagi dari Kuala Lumpur ke lokasi berkumpul di Dewan Orang Ramai, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor.

Barangan zakat dan sumbangan ahli-ahli Redah dan orang ramai yang dibawa menggunakan lori kemudiannya dipindahkan ke dalan kenderaan 4x4 dan diagihkan ke rumah-rumah fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan Ma’ahad Tahfiz yang telah dikenal pasti.
Terik mentari, keletihan, lapar dan dahaga, merupakan cabaran utama program dibulan puasa ini. Namun komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan oleh peserta menjadikan program tersebut berjalan lancar mengikut jadual.

Tidak ketinggalan program ceramah agama juga disediakan oleh Jawatan Kuasa Kampung bagi memenuhi jadual harian sebelum Majlis Berbuka Puasa.

Laungan azan Maghrib yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa mengakhiri penat lelah seharian para peserta dan disambut dengan hidangan yang berbagai jenis oleh tuan rumah.
Kepada para peserta, sekalung tahniah diucapkan dan terimakasih yang tidak terhingga juga kepada tuan rumah, jawatankuasa yang terbabit dan penduduk kampong yang memberikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program ini.

Semoga kerjasama seperti ini akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang.

Tiada ulasan: