Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Isnin, 1 Disember 2008

PENGUMUMAN










Kepada ahli Redah 4x4 Club dan rakan-rakan yang berkelapangan pada Hari Raya Aidil Adha yang pertama dan kedua, adalah di alu-alukan untuk sama-sama turut serta di dalam gotong-royong Majlis Korban di Pusat Jagaan Anak Yatim/ Saudara Baru An-Najjah seperti berikut:

Tarikh : 8hb Disember 2008 (Hari Raya Pertama)
dan/atau 9hb Disember 2008 (Hari Raya Kedua)

Tempat : Pusat Jagaan Anak Yatim/Saudara Baru,
No.3, Jalan Kent 2, Off Jalan Maktab,
54000, Kuala Lumpur.
Masa : Selepas zohor Hari Raya pertama dan pukul 7.30 pagi pada Hari Raya Kedua.

Untuk ahli Redah 4x4 Club, satu kutipan derma sedang dilancarkan untuk bayaran sewa bas bagi mengangkut sejumlah 50 orang anak yatim dari rumah anak yatim sekitar Rawang untuk turut sama meraikan Hari Raya di sana.

Bayarannya telah ditetapkan sebanyak RM20 seorang ahli Redah tanpa mengira samada hadir atau tidak.

Untuk perhatian, Kelab Redah 4x4 telah mendahulukan duit kelab sebanyak RM2,000 dan telah diserahkan kepada Pusat Jagaan tersebut bagi penempahan bas dan sebagainya.

Dengan kiraan mudah dengan ahli seramai 100 orang maka dapatlah kiranya kita menampung balik sebanyak RM20 seorang yang akan berjumlah RM2,000.

RM20 untuk mengembirakan hati-hati kecil anak yatim…apalah sangat.

Bayaran boleh dibuat melalui :
a. Bayaran terus kepada Bendahari, En Najib
b. Masukkan ke akaun sementara Redah atas nama En. Najib 512156502592 (Sila simpan slip transaksi untuk bukti bayaran)

Untuk rakan-rakan yang ingin mendapatkan t-shirt Redah edisi terhad bagi program tersebut, boleh terus menghubungi En. Najib di talian 019-2739916.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Pak Kundang di talian 012-9787497.

Operasi Menyelamat Tanah Runtuh di Ulu Yam Perdana












Gambar seterusnya sila KLIK disini.



30hb Nov 2008, Deringan panggilan kecemasan bertalu-talu memasuki handphone saya mengenai kejadian tanah runtuh yang berlaku di Ulu Yam Perdana tatkala saya sibuk menyiapkan anak-anak untuk bersarapan pagi.

Panggilan kecemasan yang dibuat oleh Pak Shukur, PR-SG atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Kobis itu seperti biasanya merupakan panggilan kecemasan dari JPA3, akan diikuti dengan pesanan supaya perkara ini tidak dihebohkan lagi di jalur radio komunikasi bagi mengelak salah informasi dan kebanjiran rakan-rakan yang bermurah hati ingin menghulurkan bantuan.

Bukan menolak keperhatinan rakan-rakan, namun sementara jentera kerajaan seperti PDRM, PBSM, SMART, JPA3 dan Rela telah dikerahkan ke sana, menjalankan kerja-kerja mereka secara professional, sebaiknya-baiknya kita hanya perlu berada di dalam ‘standby’ jika ada apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan.

Seperti yang diketahui, Redah 4x4 Club dan JPA3 sejak dari dahulu lagi mempunyai hubungan yang akrab melalui kerjasama operasi menyelamat terutamanya dalam operasi yang memerlukan penggunaan jentera 4x4.

Terimakasih kepada rakan-rakan Redah yang sempat dihubungi dan bergegas ke lokasi bagi membantu dalam penyiapan khemah operasi sementara dan menghantar barangan keperluan teknikal untuk pasukan JPA3 di tempat kejadian.

Mewakili Redah 4x4 Club, saya ingin mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga mangsa. Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama roh orang-orang yang Soleh.


-Kundang.

Berikut berita penuh yang di sisip dari Berita Harian Online.

Dua Beradik Mati Tertimbus


KUALA KUBU BHARU: Dua beradik maut tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang meranapkan sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Seksyen 13, Ulu Yam Perdana, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi, Nur Athirah Roslan, 16, dan adiknya, Nur Intan Shareena, 9, sedang tidur di bilik mereka di bahagian belakang rumah, ketika cerun setinggi 30 meter dan lebih 300 meter panjang menggelungsur lalu menimbus sebahagian besar rumah mereka.

Ibu bapa mangsa, Roslan Mohd Jani, 49, yang bertugas sebagai juruterbang Firefly dan Azizah Madun, 42, serta tiga lagi anak mereka, Norman Afiq, 4; Anis Afina, 6, dan Nurlisa Azeera, 8, bagaimanapun selamat selepas berjaya keluar melalui lubang di bumbung.

Ketika kejadian, lima beranak yang terselamat itu tidur di bilik utama di bahagian depan
rumah berkenaan. Timbunan tanah runtuh yang menimbus rumah itu turut menyebabkan Nurlisa Azeera tersepit di bawah almari tetapi tidak cedera.

Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Zaldino Zaludin berkata, jenazah Nur Athirah ditemui jam 12.30 tengah hari dalam keadaan mengiring, manakala jenazah Nur Intan Shareena tiga jam kemudian dalam keadaan terlentang.

"Kedua-dua mangsa tertimbus lebih dua meter dari paras bumi akibat diseret runtuhan tanah yang menggelungsur dan berada pada kedudukan satu setengah meter antara satu sama lain. Jenazah dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat," katanya di lokasi kejadian, semalam.

Zaldino berkata, usaha mencari mangsa membabitkan seramai 140 pegawai dan anggota pasukan polis, bomba dan penyelamat, Smart, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) serta dibantu kakitangan Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Katanya, tiga anjing pengesan dan dua jengkaut turut digunakan bagi membantu mencari serta mengeluarkan mangsa.

Keluarga itu yang sudah menetap di kediaman berkenaan sejak tujuh tahun lalu, turut mempunyai seorang lagi anak, Noraina Ayu, 21, yang kini menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Melaka.

Dua kereta jenis Kia Spectra dan Perodua Kancil milik keluarga berkenaan yang diletakkan di ruang letak kereta rumah itu turut ranap.

Selasa, 25 November 2008

Majlis Perlancaran dan Suai Kenal Redah 4x4 Club 2008


"Aku ingat kereta Pak Presiden ni dah sampai masa buat hard-core lah"


Gaya Bentangau... Tu apa yang dibuat oleh Pak Presiden di belakang tu?

Presiden, Pak Merbatu (kanan) mendapat ucapan tahniah dari Pak Balau

"Hari ni menu special...Kari Kaki Lembu Centepix Jungle Trekker".

"Buat kerja beb, Bendahari kat belakang tu asyik jeling je akaun ni"

Dinihari yang meletihkan


Pak Jongkong..gagal lagi.

* Sila KLIK DI SINI untuk gambar seterusnya dari Photobucket Kundang.

Pada 21-23 Nov 2008 telah mencatat sejarah bagi Kelab Redah 4x4 dimana satu program 'perkampungan 4x4' besar-besaran telah diadakan di Lubuk Kawah, Ulu Bernam, Tanjung Malim.

Program yang dihadiri oleh ahli-ahli Redah bersama keluarga, rakan-rakan dari kelab-kelab radio seperti Peradas, SCS, para Amateur Radio dan orang perseorangan telah sama-sama memeriahkan lagi 'perkampungan 4x4' tersebut.

Tidak ketinggalan juga rakan-rakan dari kelab 4x4 lain seperti PAT, Wan10 dan Kuala Selangor 4x4.

Apa yang menarik pada program kali ini bukan sahaja kepada program-program yang dirancang tetapi program-program yang tidak termasuk di dalam agenda seperti 'melemaskan' 4x4 di dalam air, menyaksikan 'kepala air' turun selepas hujan, mematah-riukkan anggota badan jentera, acara 'pindah-randah berkeluarga akibat sungai tak dapat direntasi dan yang paling biasa 'main tarik-tarik 4x4' di dalam lumpur.

Di sebelah malam Sabtu, telah berlansung Majlis Perlancaran Redah 4x4 Club oleh Presiden sendiri, Pak Merbatu.

Walaupun acara yang paling dinanti-nantikan oleh peserta adalah makan-makan, namun peserta juga turut dihidangi oleh persembahan karaoke oleh hadirin. Juga tidak ketinggalan acara cabutan bertuah.

Sukar untuk digambarkan kemeriahan program pada kali ini.

Kepada semua yang hadir, 'terimakasih daun keladi' diucapkan.

Kepada team AJK yang bertungkus-lumus menjayakan program ini, sekalung tahniah diucapkan. Sesungguhnya program tersebut telah melangkaui piawaian asal perancangannya.

-Kundang.











Selasa, 18 November 2008

Redah di Larut Hill International Challenge 2008

En. Azman (Oak Leaf) membawa cabaran Redah Team sebagai pilot utama.



Jentera yang pada awal kemunculannya tidak mendapat sebarang jelingan daripada penonton.















'Sponge-Bob the Mechanic' dari JibAuto sedang memeriksa jentera perlumbaan.



Bangga!..Peserta dari luar negarapun telah kecundang di tangan Team Redah.




*Lagi gambar di bi80's photostream. Thanks




Redah 4x4 Club maju setapak lagi apabila buat julung kalinya turut serta dalam cabaran Rally 4x4 antarabangsa yang berlansung di Bukit Larut, Perak pada 15 dan 16hb Nov 2008 yang lalu.


Penyertaan yang disandarkan kepada orang lama, En Azman atau Oak Leaf sebagai pilot dan digandingkan dengan muka baru, En Razali atau Mertas sebagai co-pilot, membawa cabaran dengan memandu Jeep Cherokee 4.0L.


Jentera yang hanya menggunakan enjin 'standard' dan di modifikasi secara ringkas selama 3 hari oleh JibAuto Workshop ini memperlihatkan kegagahannya apabila berjaya menandingi jentera-jentera lain yang 'fully-modified' yang melibatkan perbelanjaan sehingga RM70,000.


Walaupun baru dan banyak lagi yang perlu diperbaiki dari aspek teknikal dan tektikal, namun pasukan Redah 4x4 Club berjaya mencatatkan keputusan tempat ke-5 dari 17 penyertaan.


Tahniah kepada En Azman (Oak Leaf), En Razali (Mertas), krew mekanik dan teknikal diketuai En Ayub (Simpoh), En Ali (Binuang), En Zulni (Merbatu), Bob(Chief Mechanic) dan Prema (PAT) yang turut serta dan tidak lupa ahli-ahli Redah yang sama-sama memberi dorongan kepada kemunculan sulong Redah di dalam pertandingan ini.

Selasa, 11 November 2008

Lagi Aktiviti Rakan-rakan Redah









1. Mesyuarat Persiapan Majlis Suai Kenal Redah di Teratak Riverview, Ulu Bernam
Mesyuarat yang berlansung pada 7 Nov 2008 dihadiri oleh AJK Tertinggi dan pada 8 Nov 2008 dihadiri oleh Jawatankuasa Khas Kecil ini berlansung di Teratak Riverview, Ulu Bernam, Selangor sebagai persiapan Majlis Suai Kenal dan Perlancaran Kelab Redah 4x4.
Lokasi yang berhampiran dengan tempat 'mengecas' para 'hardcore 4x4' itu menyediakan pelbagai kemudahan untuk aktiviti santai bersama keluarga.
Selesai mesyuarat, rakan-rakan Redah seperti biasa mencari cabaran masing-masing, ada ke Lubuk Kawah. Ada ke Ulu Slim dan ada ke Kerling.
Tahniah kepada Jawatankuasa Khas Kecil yang dilantik. Semoga komitmen saudara semua akan membuahkan hasil yang akan diingati sampai bila-bila.

2. Mengecas di Kerling
Tiada apa yang hendak dihebohkan, cuma aktiviti biasa sebahagian rakan-rakan Redah yang baru mencuba-cuba untuk melangkah ke aktiviti pemanduan 4x4. (Gambar di atas)

Aktiviti Rakan-Rakan Redah Semenjak Dua Menjak

Kereta Pak Maulud, 9W2LUD/PR-UD menggunakan khidmat 5 x10.




Rombongan pengiring Pak Dungun pergi meminang di Jertih, Terengganu.


Muhairi (Pak Dungun) dan tunang, Siti Fatimah Idris.


1. Selamat Bertunang Muhairi (Pak Dungun)
Pada 25 Okt 2008, telah berlansung Majlis Pertunangan Muhairi bin Muhammad atau Dungun dengan Siti Fatimah binti Idris di Kampung Tok Has, Jertih Terengganu. Majlis yang turut dihadiri oleh rakan-rakan Redah seperti Rengas, Sepang, Leban, Kundang serta keluarga masing-masing itu berjalan lancar dan meriah.
Tahniah Muhairi, semoga dipanjangkan jodoh, kekal hingga ke anak cucu.

Gambar lagi...

2. Beriadah bersama Pradas di Kerling
Pada 2 Nov 2008, rakan-rakan dari Pradas dengan semangat yang cukup tinggi, membawa kereta 2 wheel masing-masing menyahut cabaran ke Kerling. Walaupun sentiasa dipantau oleh rakan-rakan Redah, namun perjalanan pergi dan balik berjalan lancar. Tahniah kepada yang berani 'mencalarkan' kereta masing-masing dan berani tidur di dalam khemah yang dimasuki air.
Gambar lagi...