Selamat Datang ke Cabaran Redah 4x4 Club...

Redah 4x4 Club yang dahulunya lebih dikenali sebagai XKisah Adventure Team merupakan pertubuhan berdaftar dengan keanggotaan hampir 100 orang 'pilot' 4x4.
Penubuhannya yang lebih kepada penyatuan peminat-peminat 4x4 di bawah satu kelab; menitikberatkan kepada aktiviti-aktiviti riadah, kekeluargaan, projek amal, bantuan kemanusiaan dan komunikasi radio.
Wujudnya kelab ini bukanlah dengan tujuan untuk mencabar kelab-kelab lain apatah lagi untuk mendabik dada dengan kemahiran mengendalikan 4x4 masing-masing, tetapi sebagai satu jambatan bagi hubungan silaturRahim sesama insan.
Semoga kewujudan kelab kami ini akan mendapat tempat di hati masyarakat.

Wasallam,


Presiden
Kelab Redah 4x4 Kuala Lumpur Selangor

Rabu, 27 Januari 2010

BAKTI DISEMAI, BUKTI DITUAI…


Pada 25-27 Disember 2009 yang lalu, Kelab Redah dengan sokongan Majlis Perbandaran Jerantut, Middle Earth, Red Adventure, Kelab Kembara Selangor, Lubuk Trekker, PDRM, orang persaorangan, media dan agensi kerajaan lain telah berjaya merealisasikan Jamboree 1 Malaysia Redah di Lembah Kiol, Lata Meraung, Jerantut, Pahang.

Pelbagai maklum-balas dan ucapan tahniah yang diterima oleh Redah, yang secara majoritinya berpuas hati dengan program yang julung kalinya dianjurkan oleh Redah melalui titik peluh serta penat jerih yang disumbangkan oleh ahli-ahli yang terbabit.

Tidak kurang juga pelbagai kritikan dan sindiran pedas yang hampir-hampir merudum kegembiraan dan semangat berkobar-kobar ahli-ahli Redah. Namun itulah realitinya apa yang terjadi kepada kebanyakan persatuan, pertubuhan atau kelab di Malaysia.

Terpulang kepada ahli-ahli Redah terbabit samada mahu menerima segalanya ini sebagai sesuatu yang positif atau sebaliknya.

Apa yang harus diingat, apabila sudah berpersatuan, segala tindak tanduk haruslah mengikut acuan melalui akta serta undang-undang kecil persatuan. Persatuan bukanlah milik individu atau orang-orang tertentu. Ianya hak bersama seluruh ahli tanpa mengira ahli lama ataupun ahli baru.

Bak kata pepatah, Bakti disemai, Bukti dituai, setelah berpenat-jerih menjayakan Jamboree 1 Malaysia Redah tempohari, Kelab 4x4 Redah sekali lagi dipelawa oleh Majlis Daerah Jerantut melalui Tuan Yang Dipertua, Dato’ Hj. Ismail bin Hj. Ali untuk sama-sama menganjurkan MERDEKA INTERNATIONAL CHALLENGE bersempena dengan Bulan Merdeka 2010.

Terima kasih diucapkan kepada Majlis Daerah Jerantut yang sentiasa memberi kepercayaan dan kerjasama kepada Redah untuk sama-sama mempromosi aktiviti eco-perlancongan dan sukan lasak 4x4.

Sekali lagi program ini bakal menjadi suatu cabaran yang besar bagi menguji kekuatan fizikal dan mental serta semangat setia kawan antara ahli-ahli Redah sendiri. Di samping mengharapkan sokongan dan dorongan dari agensi kerajaan, kelab dan pertubuhan lain serta peminat-peminat 4x4, kejayaan program kali ini hanya dapat dinilai setelah ahli Redah sendiri memberikan komitmen dan kerjasama yang padu.

Tepuk dada, tanya selera, jikalau gunung-ganang sanggup didaki, hutan rimba sanggup diredahi……Sanggupkah kita sama-sama menyahut cabaran untuk menganjurkan program Merdeka International Challenge kali ini?


-Administrator.

..


Tiada ulasan: